Thursday, February 23, 2012

"Menjadi Lebih Bertuah"

Salam sayang semua.....memang agak lama, cikgu era tidak menulis artikel, kesibukan dengan program sekolah.Kali ini, cikgu ingin berkongsi satu artikel yang memberi inspirasi buat kita semua. Bila kita terbangun, kita berasa bertuahnya diri kita ini dan hargailah saat-saat keindahan itu dengan penuh kesyukuran. "Hidup ini menjadi begitu indah, bila kita bersyukur setiap hari". Bacalah artikel ini, mungkin ianya memberi makna yang mendalam dalam setiap kehidupan yang kita lalui. 
 KUASA TUAH
Kisah Tuah dengan Warren Bufftet
Kuasa mengenai tuah dimulakan dengan kisah yang terjadi kepada seseorang yang pernah berada di tangga pertama sebagai orang terkaya di dunia. Individu yang dimaksudkan itu adalah Warren Buffet. Warren Buffet merupakan salah seorang yang berpengaruh dan berkedudukan di dunia. Beliau merupakan pemegang saham terbesar dalam beberapa syarikat penting. Saham syarikatnya merupakan antara harga saham termahal di dunia. Keadaan ini disebabkan kemampuan syarikatnya memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding orang lain. Beliau juga pernah menjadi orang terkaya di dunia sebelum tempat tersebut diambil semula oleh Bill Gates pada tahun 2009. Lebih menakjubkan, semua ini terjadi apabila beliau menderma sebahagian daripada hartanya.
Beliau merupakan pakar dalam permainan saham. Beliau bijak dalam membaca penyata kewangan sesebuah syarikat serta mempunyai kemampuan menganalisis kemajuan sesebuah syarikat. Namun begitu tidak dinafikan, beliau turut mengalami nasib tuah yang menyumbang kepada kisah kejayaannya. Dalam sebuah temuramah dengan majalah Magazine, beliau telah berkongsi mengenai sebuah kisah yang telah mengubah hidupnya. Ketika itu beliau masih dalam usia yang muda dan sedang dalam proses mencari haluan hidup. Buffet telah memohon untuk memasuki Sekolah Perniagaan Harvard (Harvard Business School) yang merupakan antara universiti yang diidami oleh para bakal siswa yang berminat dengan perniagaan dan ekonomi. Malangnya, permohonan beliau telah ditolak.
Penolakan itu tidak membuatkan beliau berputus asa dengan mudah. Beliau cuba mencari maklumat mengenai universiti lain di perpustakaan. Hasil usaha dan pencariannya tidak sia-sia. Beliau mendapati bahawa terdapat dua orang professor yang dikaguminya mengajar di Universiti Columbia, US ketika itu. Lantas, beliau memohon untuk ditempatkan ke universiti tersebut secepat mungkin dan telah berjaya diterima pada saat akhir. Lebih mengembirakan, salah seorang daripada professor tersebut menjadi mentor beliau. Salah seorang yang memberi pengaruh dan bertanggungjawab dalam membentuk kejayaan Warren Buffet adalah Benjamin Graham. Buffet begitu meminati falsafah dan prinsip  pelaburan Graham. Pelbagai ilmu diperolehi daripadanya dan membolehkan beliau menggunakan ilmu yang ada untuk membolehkan beliau menjadi antara orang yang terkaya di dunia.

Kata Buffet, “Kemungkinan peristiwa ditolak oleh Sekolah Perniagaan Harvad merupakan perkara yang paling bertuah pada saya.”.
Tuah Barnett Si Usahawan
Kisah Barnett juga turut dapat dikaitkan dengan tuah. Barnett Helzberg merupakan seorang usahawan yang sangat berjaya. Beliau telah berjaya membina rangkaian kedai perhiasan yang menjana pendapatan beratus juta ringgit setahun. Kini, beliau sudah pun berusia dan bercadang untuk menjual syarikatnya. Namun, tuah telah membawa beliau berjumpa dengan seseorang yang akhirnya berminat membeli syarikatnya.
Ketika itu beliau sedang berjalan di New York. Tiba-tiba, beliau telah terdengar seorang wanita memanggil, “Mr.Buffet”. Kata-kata yang didengar itu membuat beliau terfikir. Adakah Buffet yang dimaksudkan itu adalah Warren Buffet, seorang tokoh pelaburan?  Sebelum ini Barnett hanya pernah mendengar mengenai lelaki tersebut, tetapi beliau sendiri tidak pernah melihat wajahnya. Beliau tahu Warren Buffet merupakan seorang  yang meletakkan kriteria tertentu apabila ingin membeli saham. Akalnya terfikirkan sesuatu yang menarik. Mungkin Warren Buffet berminat membeli syarikatnya. Syarikatnya merupakan sebuah syarikat yang berpotensi.
Akhirnya, beliau telah mengambil keputusan untuk menegur lelaki tersebut. Ternyata benar lelaki tersebut merupakan Waren Buffet, pelabur yang tersohor. Perjumpaan itu sungguh bermakna bagi Barnettt kerana setahun selepas itu, Warren Buffet bersetuju membeli rangkaian kedainya.
Semua ini berlaku adalah disebabkan beliau terdengar suara seorang wanita memanggil nama Buffet ketika beliau berjalan-jalan di New York. Tuah itu telah membolehkan beliau berjaya menjual perniagaannya. Ternyata beliau sangat bertuah.

Kisah Cinta Bandura
Alfred Bandura merupakan seorang ahli psikologi di Stanford. Beliau telah mendapati topik tuah merupakan topik yang menarik dan telah membincangkan mengenai kesan tuah dalam hidup seseorang. Menurutnya, kadang kala peristiwa atau kejadian yang kecil mampu mengubah keseluruhan hidup kita.
Salah satu kisah menarik yang telah berlaku padanya adalah bagaimana beliau bertemu jodoh dengan isterinya.  Sebagai seorang pelajar, Bandura agak bosan membaca dan mengulangkaji tugasan yang ada. Disebabkan itu, beliau telah mengambil keputusan untuk bermain golf bersama dengan kawannya.
Secara kebetulan, mereka bermain di belakang dua gadis yang menarik. Seterusnya mereka telah menyertai dua gadis tersebut dan bermain secara berkumpulan. Selepas bermain, Bandura telah mengatur pertemuan dengan salah seorang daripada gadis tersebut. Diringkaskan cerita, gadis tersebut telah menjadi isterinya selepas itu. Semua ini bermula hanya kerana golf. Pertemuan itu seterusnya telah memberi perubahan besar dalam hidupnya. Keputusan beliau untuk bermain golf dan lari daripada tugasan  membuatkan beliau telah berjumpa dengan seorang potensi teman hidup dan seterusnya berkahwin. Keputusan kecil itu telah mengubah keseluruhan kehidupannya.

Kisah-kisah Tuah
Tiga cerita di atas merupakan antara kisah mengenai tuah yang terjadi dalam hidup manusia. Sesuatu untuk difikirkan, rasanya apa akan terjadi kepada Warren Buffet jika beliau berjaya diterima masuk ke Sekolah Perniagaan Harvard? Adakah beliau mampu berjaya seperti hari ini? Adakah beliau akan menemui mentor yang lebih baik?
Keadaan yang sama juga kepada Barnett. Tuah telah datang kepadanya. Tetapi jika beliau mengambil keputusan untuk tidak menegur lelaki tersebut, adakah beliau akan berjaya menjual perniagaannya? Jawapannya tentulah tidak. Beliau berjaya kerana beliau telah menggunakan kesempatan tuah yang ada. Beliau berjaya menjadi bertuah pada tempat dan keadaan yang betul. Beliau menjadi ‘bertuah’ dalam keadaan tuah itu datang. Tetapi, adakah ia boleh berlaku kepada semua orang?
Kisah pertemuan Bandura juga dikaitkan dengan tuah. Tuah telah mempengaruhi hidupnya. Keputusan kecil yang diambilnya telah membuatkan beliau bertemu jodoh dengan isterinya dan seterusnya mengubah keseluruhan hidupnya.
Ternyata tuah mempunyai kuasa dalam kehidupan seseorang. Tuah mampu membuat seseorang menjadi sangat kaya. Tuah juga mampu membuatkan seseorang berjaya menemui pembeli sesebuah perniagaan. Tuah turut berjaya membawa seseorang bertemu jodoh. Jelas, semua orang mahu menjadi bertuah. Semua orang mahu merasai kuasa tuah.
Hal ini kerana tuah mampu membawa kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hidup seseorang.
Opss..nampaknya terlalu panjang artikel ini. Sebahagian artikel ini sebenarnya datang daripada buku Menjadi Lebih Bertuah. Buku ini menceritakan bagaimana tuah dapat dicipta berdasarkan kajian saintifik yang telah terbukti.  Jika anda berminat, anda boleh dapatkannya di kedai berhampiran seperti MPH atau contact sahaja si penulis iaitu Saiful Izzuan di firioza@yahoo.com atau blognya iaitu www.drinspirasi.com. APA PENDAPAT ANDA TENTANG POST KALI IN INI?....ADAKAH ANDA INGIN JADI LEBIH BERTUAH?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...