UCAPAN
MAJLIS PERLANCARAN PROGRAM GURU PENYAYANG DAN MENTOR MENTEE PERINGKAT SEKOLAH TAHUN
2012
Tarikh : 19
MAC 2012(ISNIN)
Masa
: 8.00 pagi
Tempat : SKPI
Terima kasih tuan pengacara majlis,
Yang saya hormati
barisan Penolong Kanan, Guru-Guru dan murid-murid
yang saya kasihi sekalian.
SALAM SEJAHTERA,
SELAMAT PAGI DAN SALAM 1MALAYSIA saya
ucapkan kepada semua.
Pertama-tama, saya ingin mengucapkan selamat datang dan
setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana
sudi meluangkan masa untuk hadir dalam majlis perlancaran program guru
penyayang dan mentor-mentee peringkat sekolah pada pagi yang ceria ini.
Tuan-tuan dan puan-puan serta murid-murid yang saya
kasihi sekalian,
Program Guru Penyayang dan Mentor-Mentee yang diilhamkan
oleh Y Bhg. Dato’ Seri Abdul Ghaffar b Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia, bakal dilancarkan Kementerian Pelajaran Malaysia pada 1 Mac 2012 di
semua sekolah di seluruh pelosok Negara. Program ini bertujuan untuk
meningkatkan SIFAT KEPEDULIAN(concerned) guru terhadap muridnya dengan cara
mengamalkan nilai kasih sayang, bersikap mesra, mengambil berat, berbudi bahasa,
saling hormat-menghormati, sentiasa ceria, prihatin dan sabar.
Di samping itu, program ini dilaksanakan untuk menawan
jiwa raga(heart and mind) murid agar mereka menghargai dan menyayangi sekolah,
guru, ibu bapa, masyarakat dan Negara.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Penyayang
membawa
maksud perbuatan atau perlakuan menyayangi, mengasihi, dan berbelas kasihan
serta menghormati orang lain. Penyayang atau “caring” bermaksud merasa prihatin
dan empati terhadap orang lain. Ini bermakna guru penyayang adalah seorang guru
yang memiliki sifat kepedulian (concerned) terhadap setiap perkara yang
berkaitan dengan muridnya (every child matters / no child left behind) dengan
cara mengamalkan sifat dan perlakuan seperti yang disebut tadi. Seorang guru
penyayang sentiasa mengutamakan kebajikan dan pembelajaran muridnya. Guru
penyayang akan memberi didikan dan tunjuk ajar dengan penuh kesabaran sehingga
muridnya menguasai pelajaran (menitikbertakan outcome daripada output). Guru
penyayang juga sentiasa percaya dan yakin(believe and have faith) pada
muridnya. Dengan cara ini muridnya akan yakin dan percaya dengan kebolehan diri
sendiri .
Nel Noddings (1988) and Lisa Goldstein menyatakan bahawa
penyayang itu satu proses; iaitu,
sesuatu yang guru buat dan bukan apa
yang guru rasa. Ini bermaksud
tingkahlaku guru dalam bilik darjah dan semasa interaksinya dengan
murid-muridnya yang menentukan sama ada guru itu guru penyayang atau tidak. Sifat
penyayang itu satu etik, atau nilai moral yang diamalkan guru selalu dan dapat dirasakan
muridnya.
Guru penyayang juga mengenali muridnya dengan rapat.
Ianya bukan sahaja perlu mengetahui dan memahami kebolehan, kekuatan dan
kelemahan muridnya tetapi juga berusaha membantu murid itu meningkatkan kekuatannya,
dan mengatasi kelemahannya. Pendek kata, guru penyayang membantu murid
membangunkan potensinya ke tahap semaksimum mungkin. Guru penyayang juga merupakan
pendengar yang sabar dan setia. Dengan bersifat reseptif dan mendengar kepada
masalah murid, menjadikan mereka lebih mesra dan boleh didampingi. Satu lagi ciri
guru penyayang ialah guru itu sentiasa berusaha melebihi tanggungjawabnya,
iaitu “go above and beyond” untuk membantu muridnya di dalam dan di luar bilik
darjah. Ringkasnya guru penyayang sentiasa “go the extra mile” untuk membantu
muridnya, terutamanya murid-murid yang pemalu atau yang menghadapi masalah
pembelajaran. Kata pepatah “ a little help goes a long way”
Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,
Murid-murid mempunyai kebolehan pembelajaran dan tahap
kefahaman yang berbeza-beza. Ada murid yang
cepat faham konsep yang diajar, sementara terdapat murid yang menghadapi
kesukaran untuk memahami pengajaran guru. Mereka ini akan ketinggalan jika guru
tidak peka kepada masalah mereka ini. Sesuai dengan prinsip “No child left
behind” Guru penyayang yang sentiasa peka dan sensitif terhadap keperluan
individu yang berbeza-beza ini akan dapat membantu murid berkeperluan khas
untuk sama-sama mencapai kejayaan seperti rakan-rakannya yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Davis (2003) mendapati kajian-kajian yang dibuat 30
tahun kebelakangan ini semakin menunjukkan kepentingan hubungan guru penyayang
dalam meningkatkan motivasi, penbelajaran dan pencapaian murid. Kajian-kajian
mendapati bahawa guru penyayang dapat mewujudkan persekitaran bilik darjah yang
lebih kondusif dan mesra, menggalakkan murid untuk menunjukkan tingkahlaku
sosial yang lebih bertanggungjawab serta lebih menekankan pembelajaran daripada pencapaian. Murid-murid yang
merasakan guru mereka penyayang didapati lebih berjaya dan kurang kemungkinan
tercicir dari persekolahan.
Guru-guru yang saya muliakan,
Program Mentor Mentee tidak asing lagi kepada kita
semua. Namun, walau pun program ini telah lama wujud, keberkesanan
perlaksanaanya menjadi satu tanda tanya. Mentor
berasal dari perkataan Greek yang bermaksud rakan, kaunselor atau guru yang
boleh dipercayai. Mentor biasanya terdiri dari orang yang mempunyai
pengalaman dalam memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukannya.
Mentee pula dirujukan
kepada individu yang menerima pertolongan. Dalam memberi khidmat menolong,
mentor yang berpengetahuan dan berpengalaman bertindak sebagai pembimbing,
rakan dan guru kepada mentee yang memerlukan bantuan untuk menambahbaikan lagi
dirinya sama ada dalam konteks pembentukan kerjaya, pendidikan, kerohanian,
kesihatan mental dan dalam apa jua aspek-aspek pembangunan diri.
Dalam konteks sekolah, mentor itu biasanya guru dan
mentee adalah murid. Program mentor-mentee ini bertujuan untuk menentukan
bahawa setiap murid itu mempunyai orang yang lebih arif yang boleh dirujuknya
dan mendapatkan bimbingan dan bantuan dalam menyelesaikan masalah. Mentor boleh
memantau kemajuan menteenya. Program mentor-mentee ini boleh dilihat sebagai
satu kaedah pengisian atau amalan guru penyayang.
Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,
Membudayakan amalan penyayang merupakan sifat professional guru dalam
hubungannya dengan murid, ibu bapa, dan komuniti. Jika sifat professional askar
ialah disiplin dan kepatuhan, sifat professional guru ialah penyayang. Hanya
dengan mengamalkan amalan penyayang, dapat guru melaksanakan tugas hakikinya
mendidik dan membentuk sahsiah murid-murid. Saya percaya bahawa jika amalan
guru penyayang ini dapat diperluaskan kepada semua sekolah dan dapat diamalkan
semua guru, banyak gejala sosial, salahlaku disiplin, dan keciciran di kalangan
murid sekolah akan dapat dikurangkan. Pada masa yang sama, pembelajaran dan
pencapaian dalam peperiksaan awam akan dapat ditingkatkan. Justeru, saya
menyeru kepada semua guru agar mengamalkan budaya guru penyayang ini.
Akhir kata, dengan lafaz bismillahirahmanirahim dan rasa penuh rendah diri, saya dengan
ini melancarkan Program Guru Penyayang dan Mentor dan Mentee Peringkat SKPI dengan rasminya.
Sekian, terima kasih.