Thursday, January 12, 2012

HIDUP PUN INDAH & CERIA


SETIAP orang berhak untuk bahagia! Ingin tahu bagaimana menjadikan hidup anda lebih ceria? Ikuti beberapa tip di bawah. Mungkin ia dapat membantu anda menjalani kehidupan dengan lebih baik.  
  • .Buka hari anda dengan sebuah senyuman! Senyumlah, anda akan berasa lebih segar. Sebaik anda buka mata, senyumlah pada yang tersayang. Mungkin dia juga menunggu untuk senyum kepada anda. Atau, bukalah tingkap dan pandanglah pada mentari yang sedang menanti anda. Ukirlah senyuman manis di bibir anda apabila melihat sinarannya. Pastikan hari anda lebih indah daripada sebelumnya. Anda berkuasa sepenuhnya bagaimana untuk mencorakkan hari anda. Jadi, pilihlah untuk mulakan hari anda dengan sedikit gerakan pada bahagian bibir. Biasanya, sesuatu yang bermula dengan baik akan berakhir dengan lebih baik
  •  Hadapi semua masalah dengan hati terbuka. Kemudian, barulah bertindak. Mungkin hari ini anda sedang menghadapi detik-detik sukar dalam hidup anda. Sekalipun kita tidak mampu mengelak daripada masalah tersebut, kita mesti berjaya berdepan dengannya. Yakinilah, jika anda telah berusaha keras untuk menanganinya, hasilnya juga pasti berbaloi. Anda hanya perlu bersabar sahaja menunggu ganjaran itu datang kepada anda. Ia tetap datang. Cepat atau lambat sahaja. Hidup ini memang begitu! Dan sebenarnya, kehidupan kita pada hari ini hasil daripada apa yang telah kita lakukan pada hari sebelumnya.
  •  Hulurlah tangan kepada sesiapa yang memerlukan. Meringankan penderitaan seseorang akan dapat meringankan hati anda. Andainya anda terlihat seekor rama-rama terkapai-kapai di permukaan air dengan badannya yang terbalik ke atas, ambillah sedikit masa untuk menyelamatkannya. Jika tergerak naluri anda untuk menyelamatkan seekor rama-rama yang hampir kelemasan, tentulah anda tidak sampai hati membiarkan seorang manusia seperti anda menanggung kesusahannya seorang diri. Paling tidak, berilah sokongan kepadanya sekalipun anda tidak mampu menghulurkan bantuan yang lebih dari itu. Hari ini seseorang memerlukan anda, tapi pada hari esok anda pasti memerlukan seseorang. Oleh itu, patuhilah fitrah alam bahawa kita saling memerlukan.
  •  Belajarlah untuk berkata benar. Kebenaran itu indah. Tapi harus berpada-pada. Pastikan kebenaran itu tidak melukai sesiapa. Mungkin kebenaran itu bermakna bagi satu pihak, tapi menyakitkan bagi satu pihak yang lain. Letakkan diri anda di tempat pihak tersebut dan cubalah fahami situasinya jika berdepan dengan kebenaran yang bakal anda bentangkan. Tidak salah berkata benar, malah memang anda dituntut untuk berbuat demikian. Tapi, nyatakannya dengan berhemah agar tidak melukai hati sesiapa.
  • Cuba hadkan keinginan harian anda. Keinginan yang terlampau banyak dan tinggi hanya akan menambahkan tekanan dan kerisauan. Janganlah dalam sehari itu anda mengerah segala tumpuan dan usaha untuk memiliki rumah besar, kereta mewah dan wang berjuta. Semua ini boleh menyebabkan anda tidak senang duduk. Jangan sesekali membebankan hidup dengan memikirkan bagaimana caranya untuk mendapatkan semua itu serentak, pada hari itu juga. Penuhi keperluan asas anda dan keluarga terlebih dahulu. Kemudian, barulah fokus kepada kehendak tersebut satu per satu.
  • Hargai dan fahamilah bahawa Tuhan merupakan pemilik yang agung. Anda perlu menerima hakikat bahawa apa yang menjadi milik anda pada hari ini hanyalah milikan sementara. Tiada yang kekal. Hari ini anda disayangi keluarga, rakan-rakan, teman sepejabat, tidak mustahil suatu hari nanti situasi akan berubah. Mungkin hari ini anda mempunyai kereta yang cantik atau rumah yang besar tapi belum tentu anda akan memiliki benda yang sama pada hari esok. Anggap saja ia sebagai amanat yang dipertanggungjawabkan oleh Tuhan kepada anda. Dan suatu hari nanti, anda akan memulangkannya kepada yang hak iaitu Tuhan. Hargai dan syukuri apa yang ada dalam genggaman anda hari ini dan biarkan ia pergi jika memang itu yang telah dilakdirkan.
  •  Sekiranya anda berjumpa seseorang yang lebih baik daripada anda, jangan sesekali biarkan SESEORANG  itu pergi jauh meninggalkan anda. Fikir-fikirkanlah sebelum terlambat.





 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...