Tuesday, September 4, 2012

MENGAWAL TEKANAN SEBELUM PEPERIKSAAN

Tekanan merupakan fitrah dalam kehidupan manusia. Setiap individu berpotensi untuk menghadapi tekanan. Kebanyakan orang akan berasa tertekan pada masa tertentu. Kegagalan mengawal tekanan boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada seseorang individu. Walau bagaimanapun, tekanan boleh diatasi menerusi pengurusan yang efektif bagi membentuk kekuatan diri dari segi mental, emosi, rohani, fizikal, motivasi, nilai sahsiah dan semangat seseorang individu sebagaimana acuan yang dikehendaki oleh agama dan negara. Oleh demikian, yakinlah setiap masalah ada jalan penyelesaian dengan syarat tabah meghadapi segala ujian.Menghadapi peperiksaan adalah antara cabaran yang perlu adik lalui sebagai pelajar. Namun begitu, ada kalangan adik yang terlalu risau akan prestasi dan kecemerlangan dalam peperiksaan sehingga wujudnya tekanan perasaan. Adik usah risau, ada cara untuk menghadapi peperiksaan tanpa rasa tertekan.

KENALI TANDA TEKANAN
Amatlah penting untuk kita mengetahui masa kita berada dalam keadaan tertekan. Tanda-tanda awal adik akan menghadapi tekanan adalah seperti yang berikut:
Cepat gelisah
Rasa gelisah dan tidak senang adalah antara tanda adik sedang mengalami tekanan perasaan.
Selalu risau
Jika adik sentiasa risau dan bimbang tentang sesuatu, situasi ini menjadi tanda bahawa adik sedang tertekan.
Gangguan tidur
Sukar tidur? Gangguan tidur terjadi apabila adik terlalu berfikir sehingga menyebabkan tekanan berlaku.
Cepat marah
Apabila tertekan, emosi menjadi tidak menentu. Jika keadaan ini berlaku, adik hendaklah bersabar dan atasi masalah tekanan itu dengan baik.
Hilang selera makan
Hilang selera makan adalah antara tanda tekanan yang paling ketara sehingga berat badan menurun dengan mendadak.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Pelajar September 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...